NBOS di peringkat daerah atasi masalah pelajar terbabit dadah



KUALA NERANG: Kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di peringkat daerah membabitkan semua pihak berkepentingan harus diwujudkan bagi mengekang masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar secara menyeluruh.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ini kerana pembabitan semua pihak di peringkat akar umbi adalah penting untuk mengenal pasti pelajar terbabit dalam penyalahgunaan dadah, sekali gus mencari penyelesaian masalah itu khususnya di sekolah yang berisiko tinggi.

Beliau berkata, sehingga kini NBOS di peringkat nasional sudah dilaksanakan antara agensi persekutuan dan sudah tiba masanya ia diwujudkan di peringkat daerah yang boleh membabitkan penyertaan antara pihak berkuasa tempatan (PBT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta imam dan ketua kampung.

"Di peringkat nasional kita sudah ada jawatankuasa, tetapi kita boleh tumpukan pula di daerah sebab lagi ramai boleh membabitkan diri atas nasihat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan polis.

"Sekarang ini ada AADK dan polis memang aktif untuk tampil ke sekolah, tetapi di peringkat daerah kita tak ada jawatankuasa yang boleh menangani masalah ini secara menyeluruh.

"Kita boleh panggil pengetua, PIBG, imam, ibu bapa dan ketua kampung untuk kenal pasti apa nak buat dalam masalah ini dan cari penyelesaian," katanya pada sidang media, di sini.

Terdahulu, Mahdzir merasmikan Kem Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) PERDANA 2017 anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kolej Kuala Nerang, di sini.

Program SHIELDS ini berlangsung selama empat hari membabitkan 500 pelajar berisiko tinggi daripada sekolah menengah di seluruh negara.-BHOnline


Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :