SHAH ALAM: Bekas Pengurus Besar Kanan Bahagian Sumber Manusia Malaysia Aiports Holding Berhad (MAHB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM14,600 untuk menjalani rawatan kecantikan, tahun lalu.
Tertuduh, Md Shamsuri Md Isa, 41, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut tiga pertuduhan, dia sebagai ejen MAHB didakwa mengemukakan tuntutan palsu membabitkan tiga dokumen kad kredit berjumlah RM2,000, RM3,800 dan RM5,800 yang dinyatakan untuk tujuan rasmi, namun pembayaran dibuat untuk tujuan peribadi iaitu rawatan kecantikan di Klinik Chia Sdn Bhd.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mengemukakan Borang Tuntutan Peribadi bersama invois berjumlah RM3,000 yang tidak lengkap tanpa menyatakan keterangan rawatan di klinik berkenaan.
Semua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Korporat MAHB, Sepang, antara 1 Mac hingga 26 September tahun lalu.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 24 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Rozilah membenarkan kos jaminan Md Shamsuri berjumlah RM25,000 bagi semua pertuduhan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Jun depan.-myMetro