Pakatan tak mampu tumbang BN, sembang PAS

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pihaknya tidak bimbang dengan Pakatan Harapan, sebaliknya yakin PAS mampu menghadapi pilihan raya dengan lebih kuat.
yaakob
PAS menolak andaian Pakatan Harapan mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini tiada fakta kukuh yang menunjukkan gabungan DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menang dalam PRU 14.
Dipetik Utusan Online, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pihaknya tidak bimbang dengan Pakatan Harapan, malah sebaliknya yakin PAS mampu menghadapi pilihan raya dengan lebih kuat.
“Tidak ada ramalan pun mengatakan bahawa Pakatan Harapan akan menang. Kita lihat tiada fakta boleh menunjukkan DAP dan Pakatan Harapan akan berjaya seperti parti-parti lain,” kata beliau selepas Seminar Ahli Majlis dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kelantan di Kota Bahru, hari ini.
Muktamar PAS minggu lalu meluluskan usul untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR selepas mengambil langkah yang sama membabitkan DAP 2 tahun lalu.
PAS juga mengambil pendirian tidak mahu menjalin kerjasama dengan PPBM dan Amanah. Parti itu mahu bertindak sebagai blog ke-3 dalam PRU14.
Bulan lalu, PAS mengulangi pendirian parti itu tidak akan sesekali menyertai Pakatan Harapan.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS juga tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP dan Amanah.
Berdasarkan pendirian itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan terus mara dan memperkukuhkan parti sebagai blok ke-3.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :