PALANGKARAYA: Pentadbiran Kalimantan Tengah menaruh harapan Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan memindahkan ibu negara Indonesia ke bandar ini.
Menurut mereka, langkah itu akan ‘memenuhi impian pengasas Indonesia.’
Palangkaraya, ibu negeri wilayah Kalimantan Tengah adalah antara bandar yang dikaji untuk dijadikan ibu negara baru Indonesia.
Gabenor Kalimantan Tengah, Sugianto Sabran berkata, wilayah itu mempunyai potensi untuk dibangunkan setaraf dengan wilayah yang sudah maju di Indonesia.
“Kami berdoa agar rancangan ini menjadi kenyataan. Kalimantan Tengah berada di tengah Indonesia dan kurang terdedah kepada gempa bumi,” kata Sugianto di kediaman rasminya di Palangkaraya.
Kerajaan memasukkan Palangkaraya dalam senarai kerana presiden pertama Indonesia, Sukarno, pernah merancang untuk menjadikannya ibu negara.
Menteri Perancangan Pembangunan Kebangsaan, Bambang Bradjonegoro memberitahu Antara sebelum ini, kerajaan akan mengumumkan keputusan pemilihan ibu negara baru itu tahun ini. - Agensi