Presiden 1MDB itu digesa memberikan penjelasan mengenai peranannya di belakang tabir di sebalik beberapa perkembangan melibatkan Bandar Malaysia.
“PAS mengulangi gesaan agar Arul dapat mendedahkan segalanya sebelum dikambing-hitamkan. Itu pembebasan sebenar daripada tanggungjawab yang beliau pikul terhadap 1MDB ini,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata Arul pada tahun lalu pernah mendakwa kemungkinan orang dalam 1MDB melakukan penipuan dalam isu kemelut 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS (Aabar BVI).
Dan yang terkini, kata Tuan Ibrahim, Arul menjanjikan “pengumuman penting”, tetapi tiba-tiba mendapati dirinya hilang jawatan dalam lembaga pengarah Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Tun Razak Exchange (TRX), dua projek utama 1MDB.
“Persoalannya apakah yang bakal diumum oleh Arul? Apakah pengumuman Arul ini tidak direstui oleh perdana menteri?” soal Tuan Ibrahim.
Semalam, Arul berkata tidak dimaklumkan mengenai keputusan mengeluarkan beliau daripada lembaga pengarah Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX).
Bagaimanapun, beliau bersedia menerima keputusan itu memandangkan pelantikannya atas kapasiti 1MDB sebagai pemegang saham kedua-dua syarikat, itu.
“Oleh kerana syarikat-syarikat telah dipindahkan oleh 1MDB ke MOF Inc berkuatkuasa dari 31 Mac, 2017, ia hanya munasabah untuk menjangkakan bahawa MOF Inc mahu melantik pengarah baru, itu budi bicaranya,” kata Arul semalam.
Read More / Baca Lagi >>