Pas majukan Gagasan Sejahtera saat pihak lain celaru

Pas menjalinkan kerjasama dengan parti Ikatan Malaysia Ikatan membentuk Gagasan Sejahtera tahun laluPas menjalinkan kerjasama dengan parti Ikatan Malaysia Ikatan membentuk Gagasan Sejahtera tahun lalu
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini masa terbaik untuk partinya memajukan Gagasan Sejahtera sementara pihak lain terus bercelaru dan bertelagah.
Beliau yang kini memangku tugas presiden menegaskan, tumpuan utama Gagasan Sejahtera adalah untuk melawan BN, dan menjadi satu wadah alternatif bertunjangkan Islam kepada rakyat.
"Gagasan Sejahtera akan mementingkan kedamaian dan mengambil peranan semak dan timbang yang sepatutnya dan bukannya bantah atau sokong melulu terhadap satu-satu isu.
"Gagasan Sejahtera akan menjadi pengimbang antara kedua-dua belah yang terlalu mengejar kuasa sehingga matlamat menghalalkan cara. Insha-Allah," katanya dalam kenyataan hari ini.
PH bertarung sesama sendiri
Mengulas mengenai Pakatan Harapan beliau berkata perbalahan daripada pilihan raya negeri Sarawak yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri sehingga perebutan antara siapa yang layak menjadi perdana menteri ke-7 hari ini adalah bukti Pakatan Harapan lebih sibuk bertarung sesama sendiri.
"Pas dituduh kononnya menjadi punca kepada percanggahan di dalam Pakatan Rakyat dahulu. Tanpa Pas, pelbagai percanggahan juga berlaku dalam pelbagai isu yang kini melanda Pakatan Harapan. Jadi jelasnya, tuduhan terhadap Pas tidak benar.
"Pertarungan di dalam PH dijangka lebih hangat apabila tibanya masa untuk berebut kerusi," katanya.
Menurut beliau, Pakatan Harapan hanya berdiam diri apabila PKR mengisytiharkan bahawa kerusinya tidak boleh diserahkan kepada sesiapa sebaliknya mendakwa Pas bongkak apabila mengisytiharkan perkara yang sama dahulu.
"PKR telah mengisytiharkan bahawa kerusi PKR tidak boleh diserahkan kepada sesiapa. DAP dijangka akan menggunakan logik yang sama untuk mempertahankan kerusi yang sudah ditandinginya.
"Peliknya pengumuman ini sama seperti apa yang diisytihar Pas.
"Cuma ketika Pas umum, Pas dituduh sebagai bongkak oleh parti-parti komponen PH manakala mereka yang sama ini kini terpaksa berdiam diri terhadap pendirian PKR," bidasnya.
Mempertahankan tindakan Pas itu, beliau berkata, Pas juga telah mengisytihar bahawa mana-mana parti pembangkang yang meletakkan calon di kerusi tradisi Pas bermakna memberi tongkat kepada Umno-BN.
Justeru kata beliau, PKR dan DAP akan turut membuat pengisytiharan yang sama tidak lama lagi.
"Itu tidak pelik, kerana itulah realitinya, dan Pas telah mendepani realiti tersebut lebih awal," katanya.
BN ulang skrip perkauman
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, BN sedang bimbang mengenai kos sara hidup yang semakin disedari rakyat sehingga terpaksa mengalihkan perhatian rakyat kepada isu perkauaman.
Menurut beliau, Menteri BN Datuk Seri Mustapa Mohamed sendiri berkata kos sara hidup menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pengundi Malaysia dan dijangka menjadi satu topik pada kempen pilihan raya umum.
"Sebenarnya itu adalah kebimbangan BN sebenar. Segala statistik ekonomi yang dilihat memberangsangkan mahupun berita-berita positif bahawa ekonomi Malaysia sedang berkembang tidak dapat dirasai rakyat Malaysia secara umum.
"Mata rakyat sedang menyaksikan banyaknya kedai yang terpaksa ditutup kerana suasana ekonomi yang lembap, mengalami keadaan sukar untuk menyimpan wang kerana segala jenis kos barangan dan makanan rata-rata sudah meningkat tinggi dan penggangguran di kalangan mahasiswa semakin bertambah. GST terus dirasai sebagai cakar tajam yang sedang mencengkam bahu rakyat setiap saat.
"Untuk mengalihkan pandangan rakyat, seperti biasa akan tetiba timbul pelbagai drama yang melibatkan kaum dan bangsa yang menyebabkan rakyat bertelagah sesama sendiri. Sebagai contoh, satu insiden tampar sudah cukup untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada masalah kos sara hidup," katanya.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :