Patuhi Prosedur Pengiklanan Makanan - KKM


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada pengiklan dan pemain industri makanan di negara ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengiklanan makanan. 

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata kementerian memerhatikan ada kes pengiklan makanan menyampaikan mesej pemakanan yang salah kepada orang ramai. 

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu kementerian sudah mengagihkan SOP kepada pihak berkaitan selain, mendapatkan persetujuan komitmen mereka untuk memberikan maklumat tepat kepada audien. 

"Kementerian sedang memantau pemain industri makanan dan pengiklan yang melanggar SOP kementerian. 

"Kementerian tidak akan kompromi untuk mengarahkan mereka menarik balik iklan berkenaan atau mengenakan tindakan tegas kalau ada kesilapan mengiklan, tidak memuaskan atau pengumuman mengelirukan orang ramai," katanya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Garis Panduan Pengambilan Nutrien (RNI) 2017 di Persidangan Kesihatan Awam Nutrisi Asia Tenggara, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi RNI, Prof Dr Mohd Ismail Noor; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman. 

Subramaniam berkata tiga elemen baharu dipinda dalam panduan RNI 2017 iaitu mengurangkan pengambilan karbohidrat daripada 55 hingga 70 peratus kepada 50-65 peratus; protein (10-20 peratus) dan lemak (25-30 peratus). 

"Turut ditambah adalah empat vitamin dan sembilan mineral; keperluan tenaga untuk bayi; kumpulan umur yang kekurangan mineral berbanding tenaga, makronutrien dan vitamin; serta anggaran tenaga untuk aktiviti fizikal (PALs)," katanya. 

Katanya, orang ramai digesa mengamalkan corak pemakanan seimbang yang baharu bagi menjayakan tiada peningkatan penyakit kesan daripada habit diet, demografi sosial dan gaya hidup tidak seimbang serta membebankan pada 2025.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :