Gambar Hiasan |
Kumpulan culik untuk tebusan atau ‘kidnap for ransom’(KFR) dipercayai pembeli utama petrol dan diesel yang diseludup keluar dari negara ini.
Timbalan Ketua Staf Bahagian Risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Asisten Komisioner Hassim Justin berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, 95 peratus pembeli bahan api di stesen minyak di sekitar Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dari selatan Filipina.
"Bahan api ini akan diseludup ke negara jiran sebelum dijual kepada kumpulan KFR.
"Bahan api yang dibeli itu digunakan untuk pergerakan kumpulan KFR di perairan Laut Sulu seterusnya melakukan jenayah rentas sempadan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Bengkel Pemberitaan Pemerdagangan Manusia anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI), Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Majlis Anti-Pemerdagangan Manusia dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO) di Tawau, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pejabat Strategik Nasional (NSO) MAPO, Syuhaida Abdul Wahab Zen; Pegawai Maklumat Kedutaan AS Kuala Lumpur, Drake Weisert dan Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Mohamad Madun.
Bengkel yang kali ketujuh dianjurkan itu berlangsung selama tiga hari dan disertai kira-kira 45 wartawan media cetak dan elektronik dari seluruh negara.
Sehubungan itu, Hassim berkata, pihaknya sentiasa memantau pergerakan ini dalam usaha untuk membanteras kegiatan penyeludupan di ESSZONE.-myMetro