PM Berterima Kasih Kepada MP BN Sokong Isu 1MDB


Perdana Menteri berterima kasih kepada semua Ahli Parlimen BN yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi dalam memberi penerangan berhubung isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) meskipun ditentang hebat oleh pembangkang setiap kali bersidang.

Menurut wakilnya iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, walaupun 1MDB mempunyai kekangan dalam menyelesaikan masalah, namun sokongan tersebut membuatkan kerajaan bertahan dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam 1MDB.

Katanya, dalam situasi pembangkang menyerang kerajaan menggunakan isu tersebut, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersekongkol dengan mereka apabila gagal menyerang Perdana Menteri iaitu serangan terhadap Tabung Haji, isu peribadi Datuk Seri Najib Razak mengenai cincin isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Namun apabila kedua-dua strategi Tun Mahathir itu gagal dan beliau akhirnya menggunakan isu besar yang ketika itu menjadi sensitiviti masyarakat Malaysia iaitu serangan terhadap 1MDB.

“Tun Mahathir menggunakan satu isu yang susah difahami namun senang dipercayai iaitu 1MDB. Ia bermula pada Oktober November 2014 kerana waktu itu 1MDB akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) dengan mendapatkan dana daripada pasaran saham melalui hutang dari 1MDB, Tun Mahathir bersekongkol dengan media, sehinggakan 1MDB tak dapat memulihkan kerosakan yang ada.

“Jadi kita dah tahu 1MDB ada masalah sehinggakan IPO tak jadi, bank pun tak mahu uruskan, penjualan aset dengan Tabung Haji pun tak jadi, apa lagi usaha yang kita ada?

“Tapi kerana sokongan ahli parlimen kita, dari parti kita, dengan Arul Kanda yang memberi penerangan, kita pun pernah jalankan projek besar, Putrajaya kita dah berjaya, Cyberjaya pun dah berjaya, kalau sistem sokong idea yang ada akhirnya kita akan dapat berpatah balik dengan baik untuk melaksanakannya,” katanya dalam taklimat tertutup kepada Ahli Parlimen Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) selama dua jam di Menara Felda, Khamis.

Turut hadir, Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Setiausaha BNBBC Datuk Dr Latiff Ahmad dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri.

Dalam majlis tersebut, Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden 1MDB Datuk Arul Kanda telah memberi penerangan tentang penyelesaian 1MDB dan IPIC Abu Dhabi tanpa melalui timbang tara antarabangsa dan apa implikasi dengan pembatalan perjanjian SSA Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC) berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Arul dalam masa yang sama turut mengulas persoalan ahli parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua sama ada Kementerian Kewangan (MOF) perlu atau tidak membayar ganti rugi 1MDB sebanyak RM 712 juta jika 1MDB tidak dapat membayar balik hutang tersebut.

Jelasnya satu pengumuman penting akan dibuat dalam masa terdekat yang membuktikan kejayaan 1MDB dalam menangani semua masalah ini. - BNBCC

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :