Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa rekod Jabatan Keadailan (DOJ) menunjukkan bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) kononnya mengupah Healy Baumgardner-Nardone dengan bayaran AS$ 250,000 (RM1.125 juta) pada 19 Mei.
Mengikut dokumen itu, Baumgardner dikehendaki menawarkan khidmat hubungan kerajaan dan perhubungan awam untuk pelanggannya.
Rafizi berkata perkhidmatan Baumgardner itu mendorong kepada persoalan mengapa kerajaan Malaysia perlu melantik seseorang yang dahulunya adalah sebahagian daripada kakitangan Trump untuk melobi kerajaan Amerika Syarikat.
“Kes yang mana yang perlu menggunakan seorang pelobi berbayar?
“Saya mendesak Najib menjelaskan kepada rakyat sama ada kerja-kerja lobi yang membabitkan pembayaran berjuta ringgit itu turut melibatkan kes-kes yang beliau mempunyai kepentingan peribadi.
“Ini termasuk dakwaan penyelewengan melibatkan dana 1MDB terhadap anak tiri beliau dan Jho Low,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Rafizi juga menggesa Najib untuk mendedahkan siapa di sebalik "Godfrey Group Limited", yang disenaraikan sebagai perantara untuk pejabat perdana menteri.
Rafizi berkata semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti mendedahkan bahawa rekod paling hampir dengan nama itu adalah Godfrey Enterprise, yang didaftarkan atas nama Lim Boon Hoo yang juga mempunyai alamat sama di Taman Molek.
“Tidak ada bukti setakat ini yang menunjukkan Lim Boon Hoo adalah seorang ahli politik atau ada hubungan dengan kerajaan Malaysia,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad untuk mendapatkan ulasannya.