POLITIK MALAYSIA TIDAK MATANG SELAGI UMNO TAK TUMBANG

Apa itu politik matang?

Bagi Pas, politik matang ialah dapat berbaik-baik dan bekerjasama dengan UMNO dan kerajaan setelah sekian lama parti itu seperti menyesal kerana bersikap tidak matang, suka berkelahi dan melabel macam-macam gelaran kepada mereka yang bermusuh dengannya.

Jika tidak menyesal, tentulah Takiyuddin Hassan tidak mengungkapkan kata-kata, "Dulu lagi sebenarnya kita memang hendak hadir program-program kerajaan Persekutuan tapi tak dijemput,  selain keadaan tidak mengizinkan."

Rupa-rupanya Pas selama ini begitu mengidam untuk berbaik dan bermesra-mesraan dengan UMNO dan kerajaan. Alhamdulillah, hasrat itu tertunai kini di ketika UMNO sedang dipimpin Najib Razak yang bukan terpalit skandal kewangan terbesar di dunia, tetapi juga mengakui dalam akaun peribadinya ada wang sekurang-kurangnya RM2,600 juta.

Bagi UMNO dan BN, politik matang ialah apabila rakyat terus memilih mereka mentadbir negara ini, di sebalik pelbagai skandal yang nyata, subsidi ditarik dan cukai GST dikuatkuasakan.

Selagi UMNO dan BN berkuasa, bermakna matanglah rakyat bagi mereka. Maka, pengundi Selangor dan Pulau Pinang yang menolak UMNO dan BN sejak dua pilihanraya lalu dianggap tidak matang sama-sekali.

Jika mereka kembali memilih UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang, mereka automatik dinilai matang kembali.

Politik matang bagi Pakatan Harapan ialah apabila rakyat berani membuat perubahan tatkala kesalahan kerajaan dan kemungkaran pemimpin dalam mengurus negara ini begitu nyata dan memudaratkan kehidupan rakyat.

Sebab itu mendedahkan kesalahan pemimpin kerajaan kerap dilakukan. Ia bertujuan untuk menyedarkan mereka bahawa pemimpin kerajaan sepatutnya berkhidmat untuk rakyat melalui pelbagai kemudahan yang mereka nikmati dan sekiranya ia gagal, mereka wajib ditukar tanpa rasa gentar.

Daripada ketiga-tiga tafsiran tersebut, Pas dan UMNO jelas hanya mementingkan diri mereka sendiri, manakala Pakatan Harapan lebih terbuka dari segi memberi pilihan kepada rakyat. 

Sementara UMNO memberi tafsiran hanya untuk kepentingan mereka, matang dalam tafsiran Pas pula lebih menampakkan ingin membeli kelebihan kepada BN di samping dapat melepaskan dendam serta geram kepada DAP dan Amanah.

Di negara-negara yang lebih maju, sikap seperti yang dicanangkan oleh Pakatan Harapan itulah yang menjadi kelaziman. Mereka tidak gentar menukar pemimpin dan kerajaan yang gagal menunaikan tanggungjawab kepada sebuah kerajaan baru yang lebih diyakini.

Jika pemimpin atau kerajaan baru yang dipilih itu gagal juga, mereka dengan berani akan menukarnya sekali lagi. Biasanya parti lama yang dikalahkan tadi, tetapi sudah bertukar pucuk pimpinan, akan diberi kepercayaan semula mengetuai kerajaan kiranya janji dan manifesto yang ditawarkan lebih meyakinkan.

Dengan mudahnya pertukaran kerajaan itu berlaku, parti yang terpilih mengetuai kerajaan akan berusaha dengan sebaiknya untuk menunaikan janji yang pernah ditawarkan. Mereka juga hanya berani berjanji sekadar yang mampu ditawarkan saja dan tidak berlebih-lebihan sehingga ke tahap menawarkan bulan dan bintang.

Di negara ini, jika kita ingin menikmati kehidupan yang lebih baik dan terjamin, sesuai dengan cukai yang kita bayar kepada kerajaan, amalan seperti di negara-negara maju itu mestilah juga berani dilakukan.

Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :