SEOUL: Presiden Korea Selatan Moon Jae-in semalam mengarahkan siasatan dilakukan selepas Kementerian Pertahanan gagal memaklumkan kepadanya mengenai empat pelancar sistem antipeluru berpandu Thaad yang dibawa masuk ke negara itu.
Sistem Pertahanan Terminal Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) mulanya dipasang Mac lalu di Seongju, wilayah di tenggara negara itu dengan hanya dua pelancar bagi menangani ancaman misil Korea Utara yang semakin meningkat.
Ketika berkempen untuk pilihan raya presiden 9 Mei lalu, Moon menggesa jawatankuasa Parlimen mengkaji semula sistem pertahanan itu yang mencetuskan kemarahan China, satu-satunya sekutu utama Korea Utara.
“Presiden Moon berkata, adalah sesuatu yang mengejutkan untuk mengetahui empat pelancar tambahan dipasang tanpa dilaporkan kepada kerajaan baru atau orang awam,” kata jurucakap presiden, Yoon Young-chan kepada wartawan.
Tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan tidak mengulas kenyataan Moon, begitu juga dengan tentera Korea Selatan. - Reuters