KUCHING: Argo Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) bersiap sedia membantu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut akan datang.
Menurut Ketua Pemudanya Snowdan Lawan, jentera pilihan raya Pemuda PRS sudah dilancarkan pada 22 April lepas.
"Sudah pasti kita akan bekerjasama dengan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk memastikan BN merampas kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut dan mendapat kemenangan besar dan bergaya.
"Kita akan cuba memenangi hati belia di sana (Pujut)," katanya.
Beliau yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan berkata, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, BN Sarawak akan sedaya upaya membuat persiapan terbaik untuk Pujut dan Sarawak.
Kerusi tersebut kosong selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana memiliki kewarganegaraan Australia.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Jun sebagai hari penamaan calon manakala pengundian pada 4 Julai.-Sarawakiana