KUCHING: Barisan Nasional (BN) diyakini mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut meskipun ia merupakan kubu kuat DAP.
Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua parti komponen BN perlu bersatu meyakinkan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut.
“Yang penting kita hendaklah bersatu dan senada seirama dalam gerak kerja kita untuk meyakinkan pengundi dan rakyat Pujut bahawa BN dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negeri.
“Inilah mesej yang harus kita sampaikan dan buktikan kepada rakyat di Pujut khasnya dan juga seluruh negeri dan negara ini,” katanya
Katanya, jentera pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah pun bersedia menghadapi PRK Pujut itu nanti.
“Ini amat penting untuk memastikan gerak kerja kita seperti juga di PRK Tanjong Datu dulu untuk kita pastikan jentera kita bergerak sebagai satu BN,” ujarnya.-Sarawakiana