KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Telang Usan akan membantu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut dengan berkempen di kalangan pengundi Orang Ulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, walaupun calon yang ditampilkan datang dari parti berbeza namun atas semangat jentera akan dikerahkan.
Malah menurutnya, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut mempunyai pengundi Orang Ulu.
"Kita akan menggerakkan operasi walaupun calon parti lain namun atas semangat BN kita akan bantu kerana ia (DUN Pujut) melibatkan Miri.
"Terdapat pengundi Orang Ulu dalam kawasan ini dan kita akan meraih undi di kalangan mereka," katanya.
Dennis turut melahirkan keyakinan BN mampu merampas kembali DUN Pujut sekiranya strategi betul dapat diatur.
Kerusi DUN Pujut kosong selepas DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana memiliki kewarganegaraan Australia.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Jun sebagai hari penamaan calon manakala pengundian pada 4 Julai.-Sarawakiana