KUCHING: Wanita antara calon disebut-sebut mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut.
Antara nama yang disebut-sebut menjadi calon BN bagi merampas kerusi berkenaan ialah Ketua Wanita UPP Cawangan Senadin, Suzanne Lee.
Namun begitu, menurut Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Dato Sri Wong Soon Koh, pihaknya sudah menghantar empat senarai calon kepada Pengerusi BN Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk pertimbangan akhir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Jun hari penamaan calon dan 4 Julai hari mengundi bagi PRK DUN Pujut.
Kerusi DUN Pujut kosong setelah Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bersidang pada 12 Mei lalu meluluskan usul melucutkan kelayakan penyandangnya Dr Ting Tiong Choon.
Perlucutan kelayakan Dr Ting dari DAP berpandukan Pasal 17 (1) (G) Perlembagaan negeri Sarawak kerana mendapatkan kewarganegaraan Australia sebelum ini.
Ting melanggar Artikel 17 (1) (G) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan seseorang tidak layak dipilih menjadi ahli dewan undangan negeri sekiranya dia pernah, antara lain, secara sukarela mendapatkan kewarganegaraan atau menggunakan hak warganegara di mana-mana negara di luar persekutuan atau telah mengisytiharkan taat setia kepada mana-mana negara di luar persekutuan Malaysia.
Pada PRN ke-11 lalu, Dr Ting memenangi kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 setelah memperolehi 8,899 undi, menewaskan calon BN, Hii King Chiong yang hanya mendapat 7,140 undi, calon PAS, Jofri (513 undi) dan calon Bebas, Fong Pau Teck (375 undi). - Sarawakiana