Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah terpaksa ditutup selama 24 jam disyaki berlaku tanah mendap di landasan sejak petang semalam
IPOH: Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) terpaksa ditutup selama 24 jam disyaki berlaku tanah mendap di landasan sejak petang semalam.
Menurut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini, bagi memastikan keselamatan operasi penerbangan, landasan itu ditutup bermula 6.40 petang semalam.
“Semasa pemeriksaan, kami mengesan terdapat kecemasan di landasan disebabkan tanah mendap itu. Pasukan teknikal kami segera dikerahkan ke lokasi untuk penilaian awal.
“Semua syarikat penerbangan dimaklumkan mengenai penutupan ini dan sebanyak 12 penerbangan daripada Malindo Air, Tigerair dan Firefly akan terjejas,” kata MAHB dalam kenyataan menerusi laman Twitter.
Justeru, MAHB menasihatkan penumpang supaya menyemak jadual penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing.
“Kami kesal atas sebarang kesulitan yang timbul dan maklumat lanjut akan diberikan sebaik sahaja penilaian penuh dilakukan dan kerja pembaikan selesai,” tambahnya.