Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bakal menampilkan muka baharu di kawasan Parlimen Puncak Borneo dan Parlimen Betong pada Pilihanraya Umum Ke-14 kelak, kata Pengerusi PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Memetik laporan Utusan Borneo, Abang Jo berkata, muka baharu bakal ditampilkan bagi menggantikan penyandang yang tidak bertanding atas sebab-sebab tertentu.
"Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Seri Dr James Dawos Mamit telah mengesahkan beliau tidak bertanding pada PRU akan datang atas faktor kesihatan.
"Parlimen Betong pula disebabkan Ahli Parlimennya Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah bertanding di kerusi DUN Bukit Saban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri.
"Ini bermakna muka baharu di kawasan berkenaan,"katanya.
Abang Jo yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri menambah, kemungkinan akan ada lagi muka baharu yang diketengahkan.
"Selebihnya kita tunggu sahaja dekat pilihan raya nanti (umumkan)," ujarnya.
Pada PRU13, BN menang 25 daripada 31 kerusi yang dipertandingkan.-Sarawakiana