Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) mengumumkan bakal bertanding di 17 kerusi yang telah dikenalpasti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Memetik laporan Utusan Borneo, Presidennya Cobbold John Lusoi berkata, 17 kerusi tersebut adalah kawasan majoriti Dayak iaitu Puncak Borneo, Mas Gading, Serian, Sri Aman, Betong, Saratok, Lubok Antu, Kapit, Hulu Rajang, Limbang, Baram, Bintulu, Lawas, Julau, Kanowit, Mukah dan Selangau.
"PBDSB juga sudah mempunyai calon berpotensi bagi kesemua kerusi itu termasuk menyenaraikan dua wanita, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti peguam, ahli perniagaan dan golongan profesional lain.
"Nama-nama calon berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat iaitu sebelum sambutan Hari Gawai Dayak," katanya pada satu sidang media.
Menurutnya, calon kerusi di Parlimen Puncak Borneo akan ditandingi oleh Rapelson Richard Amit manakala kerusi Parlimen Selangau akan ditandingi Mengga Mikui yang merupakan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Cobbold turut menambah, PBDSB akan mengetengahkan mengenai isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan Perjanjian Malaysia. - Sarawakiana