Simpanan Tetap
Hanya bila dicampur dengan kerusi yang dimenangi rakan parti gabungannya di Sabah (22/25 termasuk 8 dimenangi Umno Sabah) dan Sarawak (25/31), barulah gabungan pelbagai parti Umno-BN dapat membentuk kerajaan. Itulah sebabnya kerusi di Sabah dan Sarawak itu dipanggil “simpanan tetap” buat Umno yang tanpanya, Umno-BN sudah pun menjadi parti pembangkang pasca PRU13.
Sekaligus ini menunjukkan bahawa politik yang berdaya maju di Malaysia ialah politik bergabung. Hakikatnya, mustahil bagi mana-mana parti secara bersendirian boleh memerintah Malaysia. Inilah hakikat politik dalam negara Malaysia pelbagai etnik ini. Kalau parti gergasi seperti Umno tidak boleh memerintah Malaysia tanpa bergabung dengan parti-parti lain, apatah lagi parti-parti lain.
Menang Tipis
Di Semenanjung Tanah Melayu (jumlah kerusi parlimen 165), Umno-BN menang tipis - 85 kerusi berbanding PR 80 kerusi.
Pengkaji pilihan raya membahagikan parlimen di Semenanjung kepada 81 kerusi luar bandar, 44 separa bandar dan 40 bandar (jumlah 165). Umno-BN memenangi 66 daripada 81 kerusi luar bandar atau 81.5%, 14 kerusi separa bandar (31.8%) dan 5 kerusi bandar (12.5%). Oleh itu, sangatlah ketara bahawa Umno-BN memang jaguh kampung. Kalau ia kalah di kampung maka kalahlah ia di Semenanjung.
Kerusi FELDA
Dalam kategori parlimen luar bandar, 54 kerusi berada dalam kawasan FELDA, mewakil 67% daripada keseluruhan kerusi luar bandar.
Dalam PRU13, daripada 54 kerusi FELDA ini, 6 telah ditawan oleh Pakatan Rakyat iaitu Kuala Nerus, Dungun dan Temerloh (Pas), Raub dan Kulai (DAP) dan Sungai Siput (PSM). Ini bermakna dari 85 kerusi parliamen yang dimenangi Umno-BN di Semenanjung, 48 datangnya dari kawasan FELDA. Ini mewakili 56.5% dari keseluruhan kerusi yang dimenangi Umno-BN di Semenanjung. Jelas, FELDA adalah simpanan tetap Umno-BN yang membolehkan ia terus bernafas.
Melihat kepada keputusan PRU13, Umno-BN memiliki 110 kerusi simpanan tetap – 54 FELDA, 31 Sarawak dan 25 Sabah. Daripada 110 kerusi ini, 95 kerusi kekal di tangan Umno-BN sementara 15 kerusi lagi telah disambar pembangkang. Umno-BN hilang 6 kerusi FELDA, 6 kerusi Sarawak dan 3 kerusi Sabah.
Memandang ke hadapan, ini bermakna selama mana kerusi simpanan tetap ini dapat dipertahankan maka selama itulah Umno-BN akan memerintah. Oleh itu, tidak sukar untuk menjangkakan bahawa kubu simpanan tetap inilah yang dengan cara apa sekalipun akan dipertahankan oleh Umno-BN sehingga titisan darah terakhir. Ini adalah medan jihad bagi Umno-BN.
Bila ini hakikatnya, maka tidak juga sukar untuk menjangkakan bahawa dua musuh Umno-BN dalam PRU14 nanti – gabungan pelbagai parti Pakatan Harapan (PH) dan Gagasan Sejahtera (khabarnya terdiri daripada Pas, Ikatan, Parti Cinta Malaysia dan Berjasa) - akan melancarkan serangan tubi ke atas kubu simpanan tetap ini. Sebabnya, di saat kubu ini dapat ditawan, di saat itulah Umno-BN akan kecundang.
Read More / Baca Lagi >>