Ringgit Naik 1.8 Peratus Berbanding Dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat 1.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada April susulan aliran masuk ke dalam pasaran bon dan ekuiti, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata, unit tempatan disokong pengumuman langkah-langkah oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan, khususnya bagi meningkatkan mudah tunai dalam pasaran bon dan membolehkan fleksibiliti melindung nilai yang lebih besar dalam pasaran dalam negeri.

BNM berkata, sikap optimis terhadap ekonomi Malaysia berikutan lebihan akaun semasa dan prospek perdagangan yang bertambah baik menyebabkan aliran masuk semula bukan pemastautin ke dalam pasaran bon domestik pada April.

"Kadar hasil bon juga merosot dalam keadaan sokongan berterusan daripada pelabur institusi domestik.

Pasaran ekuiti terus menerima aliran masuk bukan pemastautin dalam keadaan sentimen dalam negeri yang bertambah baik berikutan perolehan korporat lebih baik daripada dijangkakan," kata BNM dalam kenyataan sorotan bulanan bagi April 2017.

Sementara itu, institusi kewangan berada pada kedudukan baik untuk berdepan dengan apa-apa kejutan makroekonomi dan kewangan yang buruk, memandangkan terdapat penampan modal sebanyak RM132.5 bilion, pada April 2017.

"Lebih 75 peratus daripada jumlah modal terdiri daripada ekuiti, perolehan tertahan dan rizab berkualiti tinggi yang berupaya menyerap kerugian," kata bank pusat.

BNM menjangka pertumbuhan pinjaman perniagaan disokong pelaburan dalam negeri, terutamanya dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Pertumbuhan jumlah pinjaman terkumpul meningkat kepada 6.1 peratus pada April 2017 daripada 6.0 peratus pada Mac 2017, didorong terutamanya oleh pinjaman yang lebih tinggi kepada perniagaan tidak termasuk perusahaan kecil dan sederhana, kepada 5.5 peratus pada April daripada 4.9 peratus pada Mac. Pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi itu disokong pembiayaan modal kerja.

Bagi April 2017, inflasi keseluruhan turun kepada 4.4 peratus daripada 5.1 peratus pada Mac kerana harga bahan api dalam negeri turun pada bulan itu dengan purata harga petrol RON95 ialah RM2.13 seliter berbanding RM2.30 pada Mac.

Inflasi teras pada April kekal tidak berubah pada 2.5 peratus. - BERNAMA

Subscribe to receive free email updates: