Rombakan kabinet negeri kali ini dilihat mengutamakan semua kepentingan rakyat Sarawak khasnya mewujudkan kementerian dalam sektor pendidikan, ekonomi dan sosial secara menyeluruh, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.
"Kabinet negeri baharu itu dapat melengkapi keperluan semasa selaras dengan perkembangan negeri yang sedang bergerak menjadi sebuah negeri maju dan moden," katanya.
Memetik laporan Utusan Borneo, Dennis berharap kementerian baharu negeri terutamanya dalam sektor pendidikan mampu untuk menyelesaikan beberapa kelemahan di peringkat akar umbi khasnya melibatkan sekolah-sekolah luar bandar.
"Banyak sekolah luar bandar masih daif dan usang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan negeri terutamanya melibatkan kemudahan asas untuk pelajar-pelajar dan guru-guru,"
Tambah beliau, kerajaan negeri perlu mengambil berat tentang kekurangan bekalan air, tiada akses komunikasi telefon, tiada dewan makan, guru bermalam dalam bilik jana kuasa, tiada padang sukan, stor menjadi bilik guru dan sebagainya.
"Kita bukan menuding jari kepada kerajaan persekutuan tidak berbuat apa-apa dalam soal ini, namun segala masalah itu lambat diatasi sedangkan kita amat memerlukan kemudahan untuk keselesaan kalangan pelajar dan guru,” jelasnya
Justeru, beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi fokus terhadap permasalahan yang berlaku khususnya naik taraf kemudahan sekolah-sekolah di luar bandar akan diberi keutamaan. - Sarawakiana