Dalam tulisan terbaru di blognya Chedet.cc, beliau berkata, beliau sedih kerana buah fikirannya telah dijual kepada syarikat asing, meskipun menyatakan Proton akan berjaya pada masa akan datang.
“Mungkin ada rakyat Malaysia yang berbangga (dengan prospek Proton pada masa akan datang). Tetapi, saya tidak akan berbangga dengan kejayaan Proton selepas ini.
“Saya tidak akan bangga dengan perkara yang tidak lagi dimiliki negara saya. Sekiranya negara kita dijual kepada orang asing yang kaya, saya yakin negara akan membangun juga. Fikirlah,” katanya sinis.
Pengerusi Bersatu itu berkata, segelintir rakyat sudah tentu gembira kerana Proton yang dahulunya dilabel sebagai kereta ‘menjengkelkan’ akhirnya berjaya dijual untuk mengecap kejayaan dalam tempoh beberapa tahun lagi.
“Selepas ini, kereta Proton bakal dikomersialkan. Dengan adanya duit serta teknologi hebat, ia akan setanding Rolls Royce dan Bentley, lantas akan dijual di seluruh dunia,” katanya.
Mahathir berkata, meskipun negara bakal memiliki lebuh raya serba canggih, projek kereta api berkapasiti tinggi, lambakan bangunan pencakar langit dan sebagainya, beliau tidak gembira kerana kesemua pembangunan ini akan dilakukan oleh pemaju asing.
Jelasnya, semua perbuatan ini dilakukan dengan tujuan mengumpul berbilion ringgit bagi menyelesaikan segala hutang negara ketika ini.
“Ini yang sedang dilakukan oleh Malaysia ketika ini, (iaitu) menjual negara, seperti menjual Proton,” tegasnya.
Kelmarin, DRB Hicom telah memeterai perjanjian dengan Geely Holding yang akan menjadi rakan strategik kepada Proton.
Dua syarikat itu dijangka memeterai perjanjian muktamad Julai depan.