Gambar hiasan |
GARUT, Indonesia: Seorang suami tergamak melanggar isterinya dengan lori sehingga mati dalam kejadian di sini pada Rabu lalu, lapor portal Gapura Indonesia.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Dewi Supartini, 35, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian perut hingga paha, selain organ badannya terkeluar dipercayai akibat digilis lori yang dipandu suspek.
Ketua Jabatan Perhubungan Awam Polis Garut, AKP Ridwan Tampubolon berkata, suspek yang dikenali sebagai Iwan bertindak melarikan diri selepas melanggar isterinya di Jalan Desa Cimurah dekat Gapura Desa Cimurah Kecamatan, Jawa Barat.
Menurut Ridwan, sebelum kejadian, pasangan suami isteri itu dikatakan bertengkar kerana masalah kewangan dan perasaan cemburu.
“Mereka bertengkar dari rumah hinggalah suspek sedang berehat dalam kenderaan, si isteri masih datang (memarahi suspek), sebelum mangsa bertindak melempar batu pada lori tersebut.
“Kesal dengan tindakan isterinya itu, suspek nekad melanggar mangsa dengan lori sebelum melarikan diri.
“Mangsa cedera parah, bahagian kemaluannya remuk dan disahkan meninggal dunia di hospital,” kata Ridwan dipetik sebagai berkata.
Tambahnya, suspek berjaya ditangkap di kawasan Haurpanggung, Garut dan kes disiasat kerana kelalaian sehingga menyebabkan kematian.- mD