Seorang Lagi Lelaki Turki Ditahan


KUALA LUMPUR: Seorang lagi lelaki warga Turki ditahan di sebuah stesen minyak di Chenor, Pahang, petang semalam, selepas dipercayai terbabit dalam mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Lelaki berusia awal 40-an itu adalah yang ketiga ditahan selepas dua rakan senegaranya susulan maklumat diterima melalui Pusat Serantau Digital Memintas Mesej Komunikasi (CMS).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan penangkapan lelaki terbabit yang kini dalam perbicaraan kerana didakwa menyerang seorang pegawai imigresen.

"Kita tidak perlu mendapatkan arahan dari luar negara (Turki) untuk menahan mereka. Kita bertindak ikut undang-undang sendiri demi keselamatan negara kita.

"Orang luar yang nak datang ke negara ini untuk mengganggu-gugat keselamatan kita baiklah tak payah datang, jangan bawa masalah negara dia ke negara kita.

"Negara kita aman damai dan tenteram," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, Khalid menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Rusli Ahmad, yang bersara hari ini kepada pengarah baru Datuk Tajudin Md Isa.

Khalid tidak menolak kemungkinan ada lagi tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Pihak polis sudah mengumpul dan mempunyai maklumat lengkap sebelum menahan mereka mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti mengancam keselamatan negara," katanya.-BHOnline

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :