JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket membuat dan menjual sijil sakit palsu susulan penahanan empat lelaki di sekitar bandar raya ini minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan yang menjual sijil sakit daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini aktif sejak setahun lalu.
“Sijil ini dijual dengan harga RM25 sekeping menerusi orang tengah.
“Kita berjaya mengesan sindiket ini selepas salah satu majikan membuat pengesahan daripada HSA pada 30 April yang mana didapati sijil tersebut adalah palsu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini sebentar tadi. – UTUSAN