Skuad B-23 Negara Uji Kekuatan Di China


MELAKA: Tiga perlawanan persahabatan di China pada bulan depan bakal menguji kekuatan skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan dalam misi membentuk pasukan terbaik mengharungi Sukan SEA Kuala Lumpur.

Pengurus Pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, perlawanan berkenaan dilihat ujian getir buat pemain menyediakan pakej lengkap dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi temasya sukan serantau berkenaan.

Katanya, perlawanan di Yunan dan Guangzhou itu turut penting untuk pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee mengenal pasti pemain terbaik yang bakal menggalas tugasan itu kelak.

"Selain itu, perlawanan berkenaan juga adalah sebagai persiapan pasukan negara menghadapi Kejohanan Kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia Bawah-23 (AFC B-23) 2018 yang bakal berlangsung di Bangkok, Julai ini," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengharapkan tiga perlawanan itu akan turut memberi impak terhadap persefahaman pemain.

"Sebelum terbang ke China skuad berkenaan akan menjalani latihan selama kira-kira seminggu di Kuala Lumpur sekali gus memberi peluang kepada jurulatih untuk menilai persembahan setiap pemain.

"Selepas pulang dari China skuad berkenaan akan mengadakan satu perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Malaysia sebelum berehat pada Aidilfitri," katanya.

Mohd Yusoff juga mengharapkan pemain bakal memperoleh motivasi tinggi untuk bersaing di kelayakan Piala AFC B-23 di Bangkok selepas empat perlawanan persahabatan terbabit, sekali gus menampilkan persembahan cemerlang. - BHOnline

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :