Saya secara berterusan mengumpul maklumat dan menyemak maklumat-maklumat yang ada untuk membawanya kepada rakyat. Saya tahu jika rakyat dilalikan dengan isu-isu lain (baik politik, kesusahan hidup atau hiburan), rakyat akan lupa dan kes ini boleh berkubur begitu sahaja.
Sebab itu saya menamakan Dato’ Dr Nasharuddin Mat Isa sebagai salah seorang penerima dana SRC yang masuk melalui akaun peribadi Dato’ Seri Najib kerana saya mahu melihat reaksi pimpinan kanan SPRM. Saya yakin bahawa maklumat itu benar dan telah membuat Akuan Berkanun mengenainya, jika saya membuat cerita SPRM sudah tentu menafikannya dengan sekeras-kerasnya dan terus menahan saya untuk didakwa.
Sehingga sekarang, tidak ada penafian atau sebarang reaksi dari pimpinan kanan SPRM kecuali kemaskini kes melalui sistem atas taliannya yang memaklumkan bahawa SPRM sedang mengambil tindakan ke atas maklumat mengenai aliran dana yang saya telah berikan kepada SPRM baru-baru ini.
Pada pandangan saya, ini bermakna bahawa dokumen-dokumen lain mengenai kes-kes melibatkan Dato’ Seri Najib dan dana 1MDB/SRC yang sebelum ini pernah cuba disiarkan tetapi dihalang dari disebarkan; wajar dibawa kembali untuk diketengahkan kepada rakyat supaya SPRM membuka kembali kes dan membuat siasatan lanjut.
Salah satu dari dokumen yang paling lengkap mengenai aliran dana yang mengalir dari akaun SRC ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib pernah disiarkan oleh satu laman SPRM Insider di capaian sprminsider.blogspot.co.uk
Laman ini telah lama dihalang capaiannya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika orang ramai cuba melayari laman tersebut sekarang, anda akan mendapat notis berikut:
Walau bagaimana pun, laman tersebut masih boleh dicapai dengan cara tertentu dan saya telah mengambil petikan skrin untuk menunjukkan ia masih lagi beroperasi dan belum ditutup:
Dokumen yang dimuatnaik pada 1 Oktober 2016 itu mempunyai 10 mukasurat itu diedarkan kepada pihak media dan orang ramai pada hari ini. Dokumen itu memperincikan transaksi wang keluar masuk dari pelbagai syarikat dan individu yang membabitkan Dato’ Seri Najib dan dana SRC (yang diambil dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan).
Saya telah menyemak perkara-perkara berikut untuk memastikan maklumat di dalam dokumen itu bukan rekaan:
1. Segala transaksi telah disemak satu persatu kepada kertas yang dipegang oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang memperincikan aliran dana dari SRC melalui beberapa syarikat sebelum sampai ke akaun Dato’ Seri Najib. Semua maklumat di dalam dokumen yang dimuatnaik di SPRM Insider ini tepat seperti yang terkandung di dalam kertas yang dipegang Tan Sri Apandi Ali
2. Nama-nama syarikat dan individu yang dinamakan telah dikenalpasti dan disemak dengan maklumat umum (baik dengan Suruhanjaya Syarikat atau keratan berita atau carian lain). Semua individu yang dinamakan wujud dan sebahagian besarnya ada kaitan dengan Umno; atau Dato’ Seri Najib; atau merupakan syarikat-syarikat pembekal
Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman profesional saya, maklumat-maklumat yang terkandung di dalam dokumen yang didedahkan oleh laman SPRM Insider itu berkemungkinan besar adalah benar berdasarkan perkara-perkara berikut:
i. Jika ia tidak benar, tiada sebab kenapa SKMM mengambil keputusan untuk menghalang capaian ke laman tersebut
ii. Semua maklumat yang terkandung setakat ini konsisten dan sepadan dengan maklumat-maklumat sulit yang telah diketahui umum termasuk nama-nama syarikat yang digunakan untuk “melapiskan” pindahan wang ke akaun Dato’ Seri Najib iaitu Gandingan Mentari SB, Ihsan Perdana SB dan anak-anak syarikat kumpulan Putra Perdana Berhad
iii. Maklumat yang terkandung di dalam dokumen ini merupakan maklumat rumit yang begitu sulit seperti nombor akaun, nama syarikat yang khusus, individu yang khusus dan pemindahan wang pada tarikh-tarikh yang khusus. Maklumat seperti ini adalah begitu rumit dan tidak mudah untuk direka-reka kerana angka dan maklumatnya perlu konsisten dan sepadan di dalam semua dokumen. Setakat ini semua angka ini adalah sepadan
Read More / Baca Lagi >>