Syarikat DRB-Hicom akan menjual 49.9 peratus ekuiti dalam Proton Holding kepada syarikat pembuat kereta China, Kumpulan Geely Holding.
Menurut DRB-Hicom, yang dipetik oleh portal The Star kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dan akan memeterai Perjanjian Definitif pada Julai 2017.
Syarikat bermasalah itu juga dilaporkan akan menjual semua kepentingannya dalam syarikat pembuat kereta British, Lotus kepada Geely.
"Perjanjian itu juga akan menyaksikan Proton menjual keseluruhan ekuitinya dalam Lotus kepada Geely Holding, yang akan melihat kumpulan itu tidak lagi akan berkecimpung dalam segmen kereta sport," kata DRB-Hicom.
Dengan keputusan itu, Geely yang menguasai Geely Automobile Hong Kong dan Kumpulan Kereta Volvo Sweden menjadi pemilik kereta nasional negara yang diasaskan pada tahun 1983 oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.
Geely Holding, yang juga memiliki The London Taxi Company, adalah antara syarikat pembuat kenderaan penumpang terkemuka di China.
Ia mempunyai kemudahan di sebahagian besar dunia, termasuk 16 kilang pembuatan, tujuh studio reka bentuk dan lima pusat penyelidikan dan pembangunan.
Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar dipetik berkata, perjanjian itu bagi memastikan jenama Proton akan terus berkembang.
Read More / Baca Lagi >>