Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris menegaskan, pihaknya mengutuk dan menolak sebarang perbuatan mensabotaj kepimpinan serta menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin dan juga timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membawa parti ke arah yang lebih teguh dan cemerlang.
“Sewajarnya kita sebagai ahli dan pemimpin bawahan menghormati dan memahami arah dan matlamat kepimpinan atasan, bukan mengkritik secara terbuka.
“Sebarang pendapat atau pandangan kedua perlu dikemukakan dan dibincangkan pada mesyuarat dalaman parti, bukan mengkritik secara terbuka dan menggunakan media bagi mencari populariti diri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Razali berkata sebagai mengulas mengenai Ketua Pendaftar Bersatu Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar kononnya seluruh bahagian Bersatu Perak membuat desakan supaya Muhyiddin meletakkan jawatan ekoran kepincangan di peringkat kebangsaan dan Perak.
Azrul Suhadi juga didakwa turut menyatakan Muhyiddin tidak pernah ikhlas kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, penyokong dan pendokong parti.
Mengulas lanjut, Razali menolak dakwaan berhubung sikap tidak ikhlas Muhyiddin sambil menyifatkan ia bertujuan memecahbelahkan parti dengan sengaja.
Jelasnya, berdasarkan kenyataan ditunjukkan oleh 3M atau Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz, ternyata ketiga-tiganya menunjukkan semangat setia kawan dan persefahaman padu dalam meningkatkan maruah dan perjuangan parti.
Read More / Baca Lagi >>