COLOMBO: Angka kematian akibat hujan lebat di Sri Lanka meningkat kepada 164 orang dengan penemuan lebih banyak mayat yang tertimbus dalam tanah runtuh.
Pusat Pengurusan Bencana (DMC) berkata hari ini, 104 disenaraikan hilang sementara 88 masih dirawat di hospital.
Banjir Jumaat lalu juga adalah yang terburuk dalam tempoh 14 tahun dan menyebabkan hampir 500,000 orang berpindah dari rumah ditenggelami air di rantau selatan dan barat Sri Lanka.
Polis berkata, sebuah helikopter pengangkut tentera udara Mi-17 terhempas di selatan Baddegama hari ini ketika mengangkut bekalan bantuan kepada mangsa banjir.
"Helikopter terhempas di atas sebuah rumah, namun tiada kematian," kata seorang pegawai polis kepada AFP menerusi telefon.
Tentera udara menghantar 12 pesawat untuk misi bantuan bagi memindahkan penduduk terkandas serta membawa bekalan makanan dan keperluan ke kawasan terjejas.
Kerajaan berkata, operasi bantuan diperhebat hujung minggu selepas hujan reda.
Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi berkata, kemungkinan hujan lebat melebihi 100 milimeter turun di tengah Sri Lanka dalam tempoh 36 jam akan datang mungkin menjejaskan operasi bantuan.
Air banjir mulai surut di daerah paling teruk terjejas di Ratnapura dan Kalutara namun pihak berkuasa berkata, operasi pembersihan mungkin mengambil masa beberapa minggu. Hampir 2,000 rumah rosak atau musnah.
Sri Lanka meminta bantuan antarabangsa dengan India menghantar dua kapal tentera laut dipenuhi bekalan pada hujung minggu.
Pakistan baru-baru ini menghantar 10,000 tan beras.
Dalam pada itu, Pertubuhan Penyelidikan Bangunan Nasional milik kerajaan memberi amaran kepada tujuh daripada 25 daerah di negara itu supaya berpindah dari kawasan cerun tidak stabil jika hujan berterusan selama 24 jam. -AFP