MANCHESTER: Media sosial menjadi medium bagi keluarga dan rakan menyiarkan gambar bagi mengesan mangsa insiden letupan di Manchester Arena yang dikhuatiri hilang.
"Mohon kongsi dengan semua, adik saya Emma berada di konsert itu malam ini #Manchester dan dia tidak mengangkat telefon ketika dihubungi, bantu saya," adalah antara mesej dimuat naik bersama gambar seorang remaja berambut perang dengan sekuntum bunga di kepala.
Satu lagi mesej Twitter menerusi pemilik akaun Erin, menggesa orang ramai membantunya mengesan adiknya, Whitney, yang memakai baju merah jambu dan jeans biru.
Letupan menggegarkan ruang legar Machester Arena ketika ribuan remaja dan ibu bapa masing-masing beredar keluar dari kawasan persembahan selepas konsert penyanyi pop Amerika Syarikat, Ariana Grande, berakhir.
Pemilik akaun Twitter, Deplorable MrsK, berkata anak lelakinya berada di lokasi sama dan tidak mengangkat telefon ketika dihubungi.
Beliau turut memuat naik gambar anaknya dan merayu bantuan orang ramai.
Seorang saksi, Paula Robinson, 48, yang berada di stesen tren bersebelahan arena bersama suaminya dapat merasakan kesan letupan dan melihat puluhan remaja perempuan menjerit sambil berlari keluar dari arena. - Reuters