Sudah terlalu lama lagu 'lembaga zakat tidak cekap' dinyanyikan. Masalah ini perlu diubati dengan segara.
Tiga tahun lepas saya membaca kritikan Daruk Asri Zainul Abidin (kini mufti Perlis) berkenaan institusi zakat di negara ini.
Beliau mempersoalkan ke mana perginya wang kutipan sebanyak RM1 bilion. Jika negara ini mampu mengutip wang zakat sebanyak itu, mengapa masih terlalu ramai fakir miskin yang menderita?
Anehnya, apabila kita melihat statistik agihan-kutipan yang dikeluarkan kebanyakan Pusat Zakat negeri, statistik itu menunjukkan prestasi cemerlang. Jumlah wang yang diagihkan akan menghampiri wang kutipan, lebihan wang zakat amat sedikit.
Pada Seminar Kebangsaan Ekonomi Malaysia 2008, satu kertas kerja menyimpulkan ramai pembayar zakat tidak berpuas hati dengan kecekapan pusat zakat mengagihkan kutipan zakat. Saya berpandangan isu ini harus dipandang serius.
Sudah terlalu lama lagu “lembaga zakat tidak cekap” dinyanyikan. Masalah ini perlu diubati dengan segara, supaya kepercayaan rakyat kepada institusi zakat dapat dikembalikan, sekali gus memberi manfaat kepada golongan asnaf.
Ketelusan
Saya berasa kesal apabila membaca berita 4 pegawai tinggi termasuk seorang yang berpangkat “Datuk” dari Zakat Pulau Pinang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terkait dengan jenayah rasuah.
Menurut SPRM, jenayah yang dilakukan 4 pegawai ini mencecah jutaan ringgit. Cuba bayangkan dengan nilai jutaan ringgit yang disalah gunakan ini, berapa ramai golongan asnaf yang boleh dibantu?
Inilah masalah utama kebanyakan orang yang diberi amanah memegang dana awam di Malaysia, mereka fikir mereka sedang memegang duit kurniaan “mak bapak” mereka.
Ini membuktikan institusi yang memakai “jenama” agama di Malaysia tidak semestinya bersih daripada unsur jenayah dan rasuah.
Untuk meningkatkan keberkesanan pengagihan zakat, pegawai yang dilantik perlulah mempunyai integriti yang tinggi dan berkelayakan. Insitusi zakat di setiap negeri pula perlu selalu dipantau dengan rapi untuk mengelakkan sebarang penyelewengan.
Sudah tiba masanya institusi zakat di setiap negeri “dibedah” secara terbuka oleh masyarakat awam, memandangkan pembayar zakat mempunyai hak untuk mengetahui ke mana wang yang mereka amanahkan itu disalurkan.
Statistik institusi zakat perlu lebih lengkap dan menyeluruh, bukan setakat mempamer nombor yang banyak. Pada zaman serba-serbi muslihat ini, tidaklah terlalu sukar untuk menipu menggunakan nombor.
Birokrasi dan bantuan
Institusi zakat kita terkenal dengan birokrasi yang tinggi dan sekali-sekala menyusahkan para asnaf. Borang penting dan bukti sememangnya perlu untuk mengelakkan penipuan, tapi mengapa perlu menyusahkan asnaf?
Salah satu contoh yang mudah adalah kekurangan kaunter zakat di luar bandar. Untuk membayar zakat, kita mempunyai pelbagai platform yang boleh digunakan: membayar terus kepada amil, e-zakat, SMS, potongan gaji dan terkini, pandu-lalu bayaran zakat.
Malangnya, untuk menuntut zakat yang sememangnya milik asnaf, pemohon yang terutamanya datang daripada luar bandar perlu berulang-alik ke pusat zakat untuk melakukan permohonan.
Sekali-sekala saya terfikir, adakah jumlah zakat yang diterima nanti mampu menanggung kadar tambang yang dibelanjakan untuk ke pusat zakat memandangkan mereka datang dari jauh.
Bukankah sepatutnya menjadi tugasan institusi zakat untuk mencari asnaf? Jika tidak, apalah gunanya membelanjakan wang zakat untuk membeli pelbagai kenderaan?
Saya juga berpandangan sudah tiba masanya badan zakat meminimakan bantuan kewangan secara terus dan menggantikan kaedah itu dengan skim yang boleh memberi pendapatan kepada asnaf.
Saya ingin memuji beberapa institsi zakat negeri yang memberi modal dan kursus kemahiran untuk para asnaf memulakan perniagaan. Hal ini akan membantu golongan asnaf ini untuk keluar daripada status fakir atau miskin, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka kepada institusi zakat. Ini akan memberi ruang kepada orang yang lebih memerlukan untuk mendapatkan bantuan zakat.
Jika pengagihan zakat cekap…
Read More / Baca Lagi >>