Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, terdapat banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam yang membawa kepada pembatalan ini.
“Selain itu, PKR turut melanggar adab-adab kerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan Pas dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej parti ini dan khianat dalam hubungan politik Pas dengan bekerjasama dengan pihak yang ingin menjatuhkan Pas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, semua perwakilan sebulat suara menyokong usul memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR, selepas usul itu dibentangkan wakil Dewan Ulamak Pas Pusat, Zulkifli Ismail sewaktu Muktamar Pas kali ke-63 baru-baru ini.
Sebaik perbahasan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari selesai, Pengerusi Tetap Muktamar, Hussin Ismail bertanya kepada perwakilan dan kesemuanya bangun menyatakan sokongan dengan melaungkan, ‘setuju’ beramai-ramai.
Terdahulu, pada pembentangan usul, Zulkifli merujuk kepada perlembagaan Pas, Fasal 5 (Tujuan Pas), Fasal 6 (Usaha-Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan) sebagai hujah agar Pas memutuskan hubungan dengan PKR.
Tambah Nik Muhammad lagi, mengenai isu urusan pentadbiran negeri Selangor diserahkan kepada JawatanKuasa Kerja Pas Pusat.
“Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat,” katanya lagi.