KUALA LUMPUR: Toleransi kaum dan agama di negara ini masih utuh dan tidak tergugat oleh kes terpencil membabitkan perselisihan antara kaum yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana majoriti rakyat negara ini cintakan keamanan dan kedamaian.
Sehubungan itu, katanya, masyarakat tidak seharusnya mudah tergugat atau dialihkan persepsi mereka kepada insiden kecil kononnya bersifat perkauman, sedangkan ia tidak menggambarkan situasi secara menyeluruh di seluruh negara.
"Cabaran kita adalah berada dalam dunia yang tidak ada sempadan.
"Dunia maklumat dan fitnah di hujung jari disebarkan secara pantas dan melulu menerusi media sosial.
"Ada beberapa kes pemain media sosial menjadi ketua pendakwa raya, ketua hakim dan ketua penyiasat dalam satu masa serta bertindak menyebarkan maklumat palsu yang sepatutnya tidak berlaku kerana dibimbangi menggugat keharmonian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan buku 'Parlimen Mahasiswa - Patriotisme & Toleransi Kaum' pada majlis anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, dalam dunia tanpa sempadan masyarakat tidak boleh mengharapkan pendekatan reaktif, sebaliknya harus proaktif mempertahankan patriotisme dan toleransi kaum.
Katanya, prinsip negara bangsa dalam konteks Malaysia yang unik ialah negara dibangunkan atas dasar bangsa Malaysia yang tidak pernah meleburkan identiti kaum dan agama.
Beliau berkata, Islam sebagai teras agama bagi kerajaan Persekutuan, tetapi agama lain bebas untuk diamalkan.
"Negara mengiktiraf kepelbagaian kaum dan agama dan identiti ini tidak sama sekali dileburkan. Itu kekuatan dan keunikan yang ada dalam negara kita.
"Kata kuncinya ialah wujudkan nilai kecintaan, patriotisme yang dilandaskan dengan nilai keagamaan, hormat menghormati dan pengiktirafan kepelbagaian serta berteraskan toleransi antara kaum dan agama," katanya. - BHOnline