WASHINGTON: Rumah Putih berdepan krisis bagi meredakan kebimbangan orang ramai susulan laporan menantu lelaki Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump didakwa mengadakan komunikasi rahsia dengan Russia.
Trump yang baharu kembali lewat Sabtu lalu dari lawatan luar negara pertamanya menyifatkan dakwaan terhadap menantunya, Jared Kushner hanyalah cerita rekaan dan bersiap sedia menangkis kebimbangan kaitannya dengan Russia.
Laporan berita berkata, Presiden AS itu bertemu peguam di Rumah Putih, berkaitan perkembangan terkini siasatan panjang terhadap perisikan Russia.
Media AS juga melaporkan, Rumah Putih mewujudkan unit komunikasi khas untuk bertindak balas segera terhadap kontroversi itu diketuai Kushner sendiri, penasihat kanan Trump, Steve Bannon dan Ketua Turus Kakitangan Rumah Putih, Reince Priebus.
Akaun Twitter Trump yang senyap sepanjang lawatan sembilan hari ke luar negara, kembali aktif dengan komen semalam, mengatakan tuduhan hubungan dengan Russia itu adalah 'berita palsu' dan 'cerita rekaan'.
"Pada pandangan saya banyak kebocoran maklumat yang keluar dari Rumah Putih adalah cerita rekaan yang dibuat #FakeNews media.
"Apabila anda melihat perkataan 'kata sumber' dalam media berita palsu dan mereka tidak menyebut nama, ia tidak mustahil sumber itu tidak wujud dan sengaja diada-adakan oleh penulis cerita rekaan. #FakeNews adalah musuh!" tulis Trump di Twitter bersama kesilapan ejaan. - AFP