ULAMA AGAMA, ULAMA POLITIK

Ulama kerap disebut sebagai pewaris para Nabi. Ungkapan itu dengan sendirinya bermaksud kedudukan ulama ialah untuk menyampaikan risalah-risalah kebenaran tentang kehidupan berpandukan Al-Quran dan Hadis setelah wafatnya Nabi-Nabi.

Memang kita menghormati para ulama atas ketinggian ilmu agama yang dimiliki serta kesungguhan mereka berdakwah, mengajar kebaikan dan mengajak untuk menjauhi kejahatan.

Tentunya setiap kita tidak terlepas daripada mendapat bimbingan para ulama dalam menjalani kehidupan, baik secara langsung dengan menghadiri kelas-kelas pengajian dan kuliah di majid serta surau atau secara tidak langsung melalui tontonan di televisyen, youtube, kaset, cakera padat pembacaan buku-buku dan sebagainya.

Secara umumnya, oleh kerana agama itu sebahagian daripada keperluan dalam kehidupan, kita memang menghormati para ulama. Tidak saja kerana ilmu dan dakwah yang disampaikannya, malah kadangkala seseorang yang berpakaian seperti kebiasaan para ulama pun kita terlangsung menghormati mereka, walaupun tidak mengenali atau mengetahui namanya.

Begitulah tingginya rasa hormat dan kekaguman kita secara semulajadinya kepada ulama.

Tetapi, kita juga mesti sedar bahawa meskipun ulama adalah pewaris para Nabi, mereka sebaliknya tidaklah maksum seperti Nabi. Ulama tetap manusia biasa yang ada keinginan, nafsu serta kehendak tertentu dalam kehidupan seharian mereka.

Sebab itu, di samping ramai yang jujur, ikhlas dan menjalani kehidupan semata-mata untuk mencari redha Allah atas kedudukan sebagai ulama dan ilmu yang dimiliki, terdapat juga segelintir lain yang menjalani kehidupan mewah, mengenakan bayaran tinggi untuk berceramah serta longgar dalam mendidik keluarga sendiri untuk hidup sepertimana yang mereka ajarkan di kuliah di sana-sini.

Selain itu, terdapat juga ulama yang menceburi politik, sama ada bersama dengan kerajaan atau menentang kerajaan. Tidaklah menjadi kesalahan bagi para ulama untuk terjun ke dunia politik, malah tentunya memberi lebih kebaikan kepada negara dan masyarakat jika mereka sentiasa berpegang kepada ajaran agama serta tidak membiarkan diri tunduk merendah terhadap kepentingan politik atau parti di mana mereka bernaung.

Sepertimana yang kerap terjadi, tidaklah di Malaysia, tetapi di sebuah negeri lain di benua Afrika, ulama kebanyakannya mula "rosak" apabila terjun berkecimpung dalam politik. Selalunya kepentingan diri dan keduniaan akan sentiasa mengatasi kepentingan agama dalam kehidupan seharian selepas mereka menceburi politik.

Baik yang bersama kerajaan atau yang menentang kerajaan, perangai dan kelakuan mereka hampir sama saja. Tuan politik atau kepentingan politik akhirnya jadi lebih besar daripada Tuhan yang Maha Esa yang menciptakan langit, bumi dan segala isi dunia ini.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :