Pengumuman Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak untuk menghapuskan Dasar Kabotaj memalukan BN Sabah kerana janji ini telah menjadi manifesto pembangkang sejak 2013 lagi, namun diperlekehkan BN Sabah ketika itu.
Ketua Pemuda Amanah Amanah, Khairudin Daud dalam satu kenyataannya berkata, sewaktu PRU-13, BN Sabah memperlekehkan manifesto ini dan menyifatkannya sebagai janji bulan dan bintang pembangkang di Sabah.
"Namun, kali ini Dato' Seri Najib sendiri yang mengumumkan akan menghapuskan dasar ini bermula 1 Jun 2017 dan ini sangat memalukan BN Sabah dibawah kepimpinan Dato' Seri Panglima Musa Hj Aman," kata Khairudin dalam satu kenyataaannya.
Najib sewaktu menyampaikan ucapan dalam program Ekspresi Negaraku di Padang Bandaran Sandakan kelmarin, telah mengumumkan akan menghapuskan dasar kabotaj bermula 1 Jun tahun ini.
Dalam ucapan beliau, penghapusan ini dibuat selepas Kementerian Pengangkutan (MoT) bersetuju membincangkan semula isu itu. Walau bagaimanapun, penghapusan polisi ini tidak termasuk urusan pelabuhan dalam negeri Sabah, Sarawak dan Labuan.
"Pemuda Amanah Sabah berpandangan pengumuman yang disebut oleh Dato' Seri Najib Razak ini adalah satu janji manis pilihanraya yang dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat," katanya.
Umum mengetahui, penghapusan Dasar Kabotaj adalah manifesto pembangkang Sabah sejak 2013.
Tidak kiralah parti pembangkang lokal mahupun nasional, kesemuanya secara terbuka, menolak Dasar Kabotaj di Sabah.
Dan kini diteruskan dalam koalasi politik baru iaitu Pakatan Harapan Sabah sebagai salah satu agenda besar sejurus selepas Pakatan Harapan memenangi pilihanraya umum ke-14.
Dalam pada itu, Pemuda Amanah Sabah turut menggesa harga barangan diturunkan berikutan langkah kerajaan menghapuskan dasar kabotaj ini.
Read More / Baca Lagi >>