Tun Mahathir Mohamad sudah beberapa kali menyatakan beliau tidak mahu menjadi Perdana Menteri semula. Alasannya, beliau sudah terlalu tua, selain pernah menduduki kerusi tersebut selama 22 tahun sebelum ini.
Tetapi, melimpahnya sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang sekarang ini sebahagian besarnya ialah kerana pengaruh dan aura Tun Mahathir. Ke mana-mana beliau pergi, kehadiran 3,000, 5,000 dan melebihi 10,000 adalah jumlah yang biasa.
Dengan Anwar Ibrahim di penjara dan jika Tun Mahathir tidak bermusuh dengan Najib berikutan skandal 1MDB yang tidak boleh diterimanya, Pakatan Harapan tidaklah segagah seperti yang ada sekarang ini.
Seorang pensyarah UTM, Dr. Mazlan Ali berkata, realitinya Najib akan berhadapan detik getir dalam PRU 14 akan datang disebabkan tsunami Mahathir yang sedang berlaku di seluruh negara sehingga menghadapi kesukaran memilih tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya.
UMNO dan BN ketika ini, jelasnya, berhadapan tentangan kuat dari kalangan orang Melayu yang menyokong perjuangan Tun Mahathir, Bersatu serta bersama Pakatan Harapan untuk menolak kerajaan pimpinan Najib.
Dengan perubahan sokongan Melayu yang sedemikian rupa, di tambah keadaan bukan Melayu yang memang sedia menolak MCA, MIC dan Gerakan, Pakatan Harapan sebenarnya sedang berada di landasan yang betul untuk membentuk kerajaan baru selepas pilihanraya akan datang.
Satu-satunya usaha menonjol Najib untuk menghalang rakyat daripada menyingkirkannya ialah dengan membesar-besarkan perpecahan di kalangan Pakatan Harapan dengan harapan keyakinan rakyat akan goyah dan mereka juga kononnya tiada agenda untuk membangunkan negara.
Najib turut kerap mengulang-ulang kononnya gambaran kedudukan ekonomi dan keadaan negara yang selalu diperkatakan oleh pihak pembangkang adalah tidak benar, mengelirukan dan jauh daripada realiti sebenar.
Namun, di waktu yang sama, Najib terus berhadapan dengan kemarahan daripada pelbagai lapisan rakyat tentang kenaikan kos sara hidup, tiada peluang perniagaan, pengangguran, ekonomi merudum, cengkaman GST, selain deretan skandal dirinya yang berpunca daripada 1MDB.
Pemberian tunai BR1M yang sebelum ini digembar-gemburkan turut tidak lagi berbisa kerana rakyat akhirnya sedar pemberian itu asalnya adalah duit mereka dan daripada GST yang dicukai setiap hari.
Pilihanraya tidak terlalu lama tempohnya lagi. Apa yang Pakatan Harapan perlu lakukan ialah mengekalkan momentum penolakan sedia ada terhadap Najib, di samping menambah keyakinan rakyat kepada gabungan itu.
Keyakinan rakyat pasti tambah mengukuh lagi, di samping terus menghimpit Najib ke dinding jika Pakatan Harapan dapat segera menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka.
Untuk berlawan dan menyingkirkan Najib, bukan saja Tun Mahathir satu-satunya calon paling layak di kalangan pemimpin-pemimpin pembangkang sedia ada, bahkan dengan menonjolkan beliau juga mampu membangkitkan keyakinan yang menyeluruh di kalangan rakyat.
Berdasarkan rekod beliau memimpin negara selama ini, siapa yang tidak yakin dengan Tun Mahathir?
Melayu, Cina, India, kakitangan kerajaan, orang muda, orang bawahan, orang dapur dan segala lapisan rakyat lebih yakin kepada Tun Mahathir berbanding Najib.
Read More / Baca Lagi >>