Usaha Antipengintipan China Dipuji


BEIJING: Sebuah akhbar rasmi China hari ini memuji usaha antipengintipan negara itu selepas New York Times melaporkan China membunuh atau memenjarakan sehingga 20 pengintip CIA, sekali gus memincangkan operasi terbesar agensi perisikan AS itu.

China membunuh puluhan pengintip yang menyalurkan maklumat kepada Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) antara 2010 dan 2012, sekali gus membongkar rangkaian yang dibina sejak sekian lama, lapor New York Times pada Sabtu.

Global Times China yang diterbitkan akhbar rasmi People's Daily berkata, ia adalah satu kemenangan bagi China jika benar.

"Jika artikel ini benar, kami ingin memuji aktiviti antipengintipan China.

Bukan saja rangkaian perisikan CIA dibongkar, tetapi Washington sendiri tidak tahu apa yang berlaku dan bahagian mana pada rangkaian perisikan itu yang bermasalah," kata akhbar itu.

Bagaimanapun, akhbar terkemuka yang terkenal dengan pendirian kuat nasionalis berkata satu bahagian laporan itu adalah palsu.

"Laporan mendakwa perisik ditembak di halaman premis kerajaan adalah rekaan semata-mata, berkemungkinan besar hanya imaginasi Amerika Syarikat berdasarkan ideologi," katanya.

Kerajaan China belum memberi maklum balas terhadap laporan itu. - Reuters

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :