PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Pusat Transformasi Bandar (UTC) adalah produk luar biasa Malaysia, yang memberikan perkhidmatan kepada 45.8 juta rakyat sejak diwujudkan pada 2012.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tidak ada satu pun negara di dunia yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta di bawah satu bumbung sekali gus memudahkan urusan rakyat.
Ahmad Zahid berkata, sebagai orang yang terbabit secara dekat dalam penubuhan UTC, beliau mengakui ia bukan tugas yang mudah pada peringkat awal.
"Pertama, tidak mudah untuk mengumpulkan pihak kerajaan dan swasta di bawah satu bumbung, selain kekangan bajet dan penempatan pegawai.
"Kerajaan juga melihat bagaimana untuk menggunakan sepenuhnya bangunan kerajaan yang berstatus gajah putih, serta tempoh masa yang diberikan untuk menyiapkan projek UTC ini dan mereka ternyata sempat melakukannya.
"Tiga elemen ini perlu disebutkan walaupun ada yang menganggap (UTC) ini biasa saja," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Pengurusan UTC Bersama Timbalan Perdana Menteri di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz; Pengerusi Lembaga Pengarah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Pengarah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Ahmad Zahid berkata, walaupun ada segelintir pihak yang enggan mengakui UTC sebagai program transformasi kerajaan, namun ia sebenarnya adalah titik penukaran minda dan perubahan sikap kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Justeru, beliau mahu pengurusan UTC menggandakan usaha untuk mengubah persepsi pihak berkenaan supaya dapat melihat keberkesanan sebenar transformasi yang dilaksanakan. - BHOnline