Vettel Berang Bottas Jadi 'Penghalang'


BARCELONA: Sebastian Vettel yakin mampu memenangi Grand Prix (GP) Sepanyol sekiranya Mercedes tidak menggunakan Valtteri Bottas sebagai 'penghalang' yang seterusnya membantu Lewis Hamilton meraih kemenangan, di sini, semalam. 

Pendahulu keseluruhan musim 2017 yang juga juara empat kali dari Jerman itu kelihatan masih mampu mengukir senyuman, namun jelas menampakkan kekecewaan sebaik saja selepas perlumbaan berakhir. 

"Saya tidak gembira kerana peluang untuk menang itu ada," kata Vettel. 

"Lewis bukan lagi saingan ketika itu dengan perlu memilih tayar berbeza dan Valtteri pula, saya cuba mengejarnya dan saya tahu mereka tidak akan memanggilnya ke pit. 

"Dia berada di mana-mana dengan tayar itu, jadi mereka menggunakan dirinya untuk menghalang saya."

 Pemandu Ferrari itu akhirnya berjaya memintas Bottas pada laluan lurus ketika masing-masing memasuki Selekoh Satu. 

"Entah bagaimana dia mampu melepasi dari selekoh. Jadi saya tidak mampu melakukan pada awalnya," kata Vettel. 

"Namun, untuk kali kedua, saya fikir harus mencari langkah seterusnya biarpun sekiranya di rumput sekali pun. 

"Ia sangat hampir! Saya berjaya mengatasinya dari sudut dalam. Kemudian, saya terus ke arah luar dan kembali ke dalam tetapi saya hampir hilang kawalan apabila DRS terbuka, tetapi ia berhasil. Saya lihat ke bawah dan saya kehilangan banyak masa." 

Vettel kemudiannya diberi tentangan sengit dengan Hamilton, terlepas status pendahulu selepas hentian pit terakhir mereka apabila pelumba Inggeris yang menggunakan tayar lembut itu, menemui kelajuan diperlukan berbanding Ferrari yang menggunakan tayar medium. 

"Saya fikir ia mungkin lebih sukar untuknya tetapi kemudiannya saya jelas tidak terdaya dan dia terus berada di depan," kata Vettel. 

"Dia mampu mengawalnya dan sangat pantas di sektor terakhir dan memenangi perlumbaan." Hamilton jelas lega usahanya berbaloi dan berkata: "Seingat saya, ia adalah persaingan yang sangat sengit perlu saya lalui dan saya amat menyukainya," kata Hamilton. 

"Ini adalah apa yang sukan ini perlukan dalam setiap perlumbaan dan inilah sebabnya kenapa saya berlumba. Untuk merasai pertarungan daripada seorang juara empat kali, pastinya sesuatu yang mengagumkan." -AFP

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :