SANAA – Sekurang-kurangnya 570 kes yang disyaki taun dikesan sejak tiga minggu lalu di Yemen yang dilanda peperangan sekali gus mencetuskan kebimbangan penularan wabak berkenaan di negara itu, lapor pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (MSF).
Namun laporan laman sesawang Sabanews.net yang memetik Menteri Kesihatan negara itu, Mohamed Hafedh berkata, bahawa kumpulan pemberontak Houthi telah melaporkan 1,681 kes penyakit berkenaan di 12 wilayah.
Tahap penjagaan kesihatan di negara itu merosot berikutan konflik antara kumpulan yang disokong Iran dan Arab Saudi semakin memuncak menyebabkan kemusnahan hospital dan berjuta-juta penduduk bergelut untuk mendapatkan makanan dan air bersih.
Pertubuhan Kesihatan Dunia kini mengklasifikasikan Yemen sebagai salah satu darurat kemanusiaan terburuk di dunia di samping Syria, Sudan Selatan, Nigeria dan Iraq.
“Kami telah merawat lebih 570 kes yang disyaki taun sejak tiga minggu lalu,” kata jurucakap MSF, Ghassan Abu Chaar kepada AFP.
Menurut beliau, pihaknya bimbang penyakit itu akan bertukar menjadi wabak berikutan kemusnahan sistem penjagaan kesihatan, kemusnahan hospital manakala gaji kakitangan kerajaan tidak dibayar sejak perang yang telah berlarutan selama dua tahun.
Katanya, MSF melaporkan peningkatan kes itu pada minggu-minggu sebelum ini dan mengesyaki wujud kes sama di lima wilayah negara ini.
Mogok umum di sini turut menimbulkan kebimbangan kebersihan berikutan jalan raya dipenuhi sampah-sarap.
Seorang pegawai Kementerian Kesihatan Yemen mengesahkan penyakit taun telah muncul kembali di Yemen sejak minggu lalu dengan laporan kes di 10 buah wilayah.
Jurucakap kementerian itu, Abdelhakim al-Kahlani memberitahu AFP, dua kematian yang dikaitkan dengan taun telah disahkan di Sanaa dan tiga kes di wilayah Ibb manakala empat kes di barat wilayah Hodeida. –AFP