KOTA KINABALU: Seorang pemandu Uber sambilan berdepan detik cemas selepas penumpang hamil bersalin dalam kenderaannya ketika tiba di hospital.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam pada Sabtu lalu, ibu muda berusia awal 20-an itu mengadu sakit perut sebelum menjerit memberitahu kepala bayi dalam kandungannya sudah keluar ketika dalam kenderaan itu.
Fredoline Lunsin, 31, berkata sebelum kejadian dia mengambil wanita itu bersama dua lagi ahli keluarganya di depan Kompleks Megalong, Penampang.
"Wanita itu menghubungi telefon bimbit saya menyatakan mahu ke Hospital Queen Elizabeth (QEH). Saya kemudian mengambilnya di hadapan Kompleks Megalong seperti diminta. "Saya fikir dia hanya sakit biasa dan minta dihantar ke hospital.
Bagaimanapun, kira-kira enam minit perjalanan dia mengadu sakit perut dan menyatakan mahu bersalin. Saya terkejut dan ketika pusing ke belakang, saya lihat kepala bayi sudah keluar.
"Pada masa itu, saya panik dan terus memecut tanpa memikirkan apa-apa kerana apa yang penting wanita itu sampai segera ke hospital. Saya berasa bertanggungjawab kerana dia berada dalam kereta saya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Fredoline yang juga pemandu lori dan berasal dari Tamparuli, berkata dia kemudian memberhentikan kereta Perodua Viva miliknya di depan pintu kecemasan QEH.
"Bagaimanapun, wanita itu tidak sempat dibawa ke bilik bersalin dan dia bersalin dalam kereta saya sambil dibantu oleh jururawat," katanya.
Beliau berkata, ini adalah pengalaman pertamanya berhadapan keadaan cemas seperti itu.
"Kedua-dua anak saya lahir di hospital dan saya tidak pernah berdepan dengan situasi cemas seperti ini," katanya yang sudah lima bulan menjadi pemandu Uber sambilan.
Bagaimanapun, BH difahamkan bayi perempuan berkenaan meninggal dunia jam 1 pagi tadi kerana kekurangan oksigen. BHOnline