KUCHING: Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada hampir 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2017.
Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan hari ini berkata, Bantuan Khas ini juga akan turut dinikmati oleh hampir 775,000 pesara Kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM250.
Menurut kenyataan itu, keseluruhan bantuan tersebut membabitkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM1 bilion.
“Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri 2017.
“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat sebelum 9 Jun 2017,” katanya. - Sarawakiana