KUCHING: Daerah Bau kini bakal berwajah baru di mana dalam perancangan untuk dibangunkan sebagai pusat tarikan pelancongan sebagai destinasi pelancongan perintis.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, ini kerana Bau mempunyai pelbagai produk pelancongan yang berpotensi untuk menarik pelancong.
“Daerah Bau mempunyai banyak produk pelancongan yang berpotensi, cuma apa yang perlu dilakukan adalah menaik taraf tempat-tempat yang menarik di samping membangunkan produk-produk baharu,” katanya di sini kelmarin.
Memetik laporan Utusan Borneo, Henry berkata, pelancongan merupakan salah satu daripada komponen utama di bawah pelan transformasi untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat di Bau, selain menjadikan Bau sebagai sebuah kawasan yang kondusif dan sesuai didiami.
Beliau turut memaklumkan tempat-tempat pelancongan sedia ada di daerah tersebut adalah seperti Pasar Serikin, Gua Pari-Pari, Gua Angin, Gunung Singai, Bazar Siniawan dan Tasik Biru yang terkenal yang merupakan bekas lombong emas suatu masa dahulu.
Manakala produk pelancongan baharu yang berpotensi dibangunkan termasuk aktiviti berkaitan alam semula jadi, rangkaian gua dan kemudahan untuk meningkatkan destinasi pelancongan semasa. – Sarawakiana