KUALA TERENGGANU: Seorang murid Tahun Tiga nyaris kehilangan tangan kirinya selepas percubaannya menggabungkan dua mercun bola menjadi satu meletup sebelum sempat ditanam di dalam tanah.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, di Wakaf Beruas di sini, mangsa Muhammad Afiq Hamdi Mohd Rozi, 9, mengalami luka dan lecur sehingga berlaku pendarahan serius di tangan kirinya dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Muhammad Afiq Hamdi, berkata dia sedang menggali tanah untuk menanam dua mercun bola yang digabungkannya bagi mendapatkan hasil letupan lebih kuat.
"Sebelum sempat saya menimbus tanah itu, mercun di dalam lubang itu meletup dengan pantas sebaik sumbu dinyalakan.
"Sebaik ia meletup tangan saya berlumuran darah dan segera pulang ke rumah untuk mendapatkan bantuan," katanya yang ditemui di HSNZ. - BHOnline