KUCHING: Bagi memastikan Sarawak mampu menjadi kuasa sukan negara, semua badan sukan di negeri ini diseru mengikut jejak langkah Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Menteri Muda Belia dan Sukan, Snowdan Lawan berkata, inisiatif FAS itu diharap dapat membawa kepada permainan bersih dengan komitmen dan integriti tinggi pemain serta pegawai pasukan Sarawak.
"Selaku Menteri Muda yang menjaga aktiviti dan hal ehwal sukan di negeri Sarawak, perkembangan terkini dimana FAS mengadakan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuh amatlah sesuai dengan harapan dan hasrat kementerian saya serta ribuan penyokong pasukan melihat permainan yang bersih dengan menunjukkan komitmen ke arah integriti tinggi," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin berkata, isu rasuah dalam kalangan pemain bola sepak tidak ditahap membimbangkan namun kalau tidak dibendung boleh merosakkan mutu permainan dan pencapaian pasukan.
"Saya memuji langkah FAS menjadi persatuan sukan pertama di Sarawak melafaz ikrar bebas rasuh dan pasukan bola sepak ketiga selepas Selangor dan Perak.
"Semoga selepas ini, pasukan bola sepak Sarawak akan mempamerkan prestasi yang membanggakan dalam Liga Malaysia setelah menghindari gejala rasuah," ujarnya.
FAS Selasa lepas menandatangani IBR diketuai Presidennya, Dato Posa Majais dengan disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Datuk Badrul Shah Norman.-Sarawakiana