KUALA LUMPUR: Peninju profesional Muhamad Farkhan Haron mengharumkan nama negara apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan peninju Filipina, Marlon 'Bone Crusher' Alta dalam kejohanan 'Brawl at the Mall: The Homecoming', malam tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Robinson Mall Atrium, General Santos City, Filipina itu, Marlon Alta yang juga bekas juara remaja WBC tunduk kepada Farkhan menerusi pukulan TKO pada pusingan kedua.
Jurulatih Manny Pacquaio, Buboy Fernandes yang bertindak sebagai 'cornerman' buat Farkhan dan kehadiran jurulatih terkemuka, Freddie Roach turut memberi semangat buat peninju kelahiran Johor itu.
Kemenangan ini secara tidak langsung mengekalkan rekod kemenangan keempat dalam karier profesional Farkhan.
Farkhan turut mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa memberikan dorongan dan sokongan dalam kariernya.
"Tidak lupa juga untuk keluarga yang berada di Johor dan seluruh Bangsa Johor yang selama ini mendoakan kejayaan ini.
Kemenangan ini untuk anda semua," katanya menerusi Facebook Johore Southern Tigers, hari ini.- BHOnline