Bekas jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan mempersoal profesionalisme pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang masih tidak mengeluarkan surat rasmi berhubung pemecatannya sehingga hari ini.
Menurutnya, Presiden FAS ketika itu, Azmin Ali memecatnya hanya melalui satu pesanan khidmat ringkas (SMS) pada Ogos lalu, dan tidak disusuli dengan prosedur yang betul termasuk surat rasmi pemecatan.
“Saya bukan mahu pertahankan jawatan saya, cuma saya mahu surat rasmi pemecatan serta merta itu supaya saya dapat buka langkah seterusnya. Memang satu Malaysia tahu saya dipecat tapi kenapa tidak dibuat secara rasmi? soal beliau dalam satu sidang media hari ini.
Zainal turut membangkitkan persoalan baki bayaran yang belum dijelaskan semasa beliau menjadi jurulatih pasukan bola sepak Gergasi Merah itu.
“Walaupun pengurusan FAS berjanji untuk selesaikan baki kontrak saya yang sepatutnya berakhir November ini, namun mereka membayar secara bulanan, semacam bekerja, tetapi sudah dua bulan (November dan Disember lalu) tidak dibayar,” katanya.
Bekas pemain pertahanan Selangor awal 1980-an itu berkata beliau menerima penggugurannya dari pasukan Selangor dengan hati terbuka namun kesal apabila pengurusan FAS ketika itu tidak memberinya peluang untuk memperjelas kemerosotan prestasi pasukan Gergasi Merah.
Bagaimanapun katanya, hasil pertemuan dan perbincangan dengan bekas pengurus skuad Liga Super Selangor, Amirudin Shari dua hari lalu beliau mendakwa dijanjikan penyelesaian isu berkenaan selewat-lewatnya minggu depan.
Zainal Abidin dipecat serta merta sebagai jurulatih Selangor pada 7 Ogos lalu tanpa sebarang amaran awal namun FAS menyatakan ia disebabkan kemerosotan prestasi skuad Gergasi Merah selepas tewas buat kali keempat berturut-turut dalam saingan Liga Malaysia 2016.
FAS kini bergelut dengan krisis dalamannya dan keadaan semakin parah apabila Mohamed Azmin memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Presiden FAS pada 30 Disember lalu.
***Berita di atas pada awal Januari, 2017. Sudahkah Azmin menyelesaikan hutang kepada Zainal Abidin?